Pengerusi BN itu memperoleh majoriti sebanyak 24,859 undi selepas menewaskan calon PKR, Zahid Mat Arip; Kapten (B) Ahiatudin Daud (Pas) dan Datuk Paduka Abd. Kadir Sainudin (Bebas).

Pengumuman kemenangan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pekan, Mohd. Yusli Ibrahim Mohd. Yunus di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini pagi ini.

Pada PRU-13, beliau mengekalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak 1976 setelah memperoleh 35,613 majoriti undi.

Peratusan pengundi yang keluar mengundi bagi Parlimen Pekan ialah 74.35 peratus.

Najib menduduki kerusi berkenaan selepas memenangi pilihan raya kecil Parlimen Pekan tanpa bertanding pada 1976 yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa beliau dan Perdana Menteri kedua.

Sementara itu, empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Pekan menyaksikan BN mempertahankan semua kerusi yang dipertandingkan oleh penyandang masing-masing.

Kerusi DUN Pulau Manis menyaksikan penyandangnya, Datuk Khairuddin Mahmud memperoleh 8,282 undi manakala pencabarnya calon Pas, Zainuddin Noh (948) dan calon PKR, Abu Bakar Lebai Sudin (2,101).

Untuk DUN Peramu Jaya, penyandang kerusi itu dari BN, Datuk Seri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali mendapat majoriti 7,182 undi selepas menewaskan Datuk Salim Abd. Majid (PKR) dan Abu Kassim Manaf (Pas).

Bagi kerusi DUN Bebar pula, BN diwakili Datuk Mohd. Fakhruddin Mohd. Ariff menang majoriti sebanyak 5,720 undi selepas berdepan calon Pas Mohd. Nazhar Othman dan Afif Syirol Abdul Rahman (PKR).

Di DUN Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun dari BN mendapat majoriti sebanyak 4,622 undi selepas menewaskan Mohd. Fadhil Noor Abdul Karim (Pas) dan Mohamad Razali Ithnain (PKR). - UTUSAN ONLINE