Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding majoriti 597 undi yang dimenangi calon BN, Datuk C. Sivarraajh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu.

Dalam pengundian hari ini, calon BN, Ramli Mohd. Nor mendapat 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran yang memperoleh 8,800 undi.

Dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib mendapat 314 undi manakala dan Wong Seng Yee mendapat 276 undi.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md. Napis pada pukul 8.30 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah Tanah Rata hari ini.

Ishak berkata, jumlah yang keluar mengundi ialah seba­nyak 21,428 orang, undi ditolak 568, kertas undi tidak dikembalikan sebanyak 23 dan peratusan keluar mengundi sebanyak 68.79 peratus.

Yang turut hadir meraikan kemenangan BN ialah Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Pre­siden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Kemenangan calon BN itu disambut dengan laungan takbir dan ‘hidup BN’.

Sementara itu, Ramli dalam sidang akhbar selepas pengumuman itu berjanji akan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat di Cameron Highlands.

“Saya tidak mahu cakap panjang hari ini, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memilih saya.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera termasuk BN, Pas, MIC dan MCA yang bersungguh-sungguh membantu saya,” katanya.