Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri bersyukur kerana Institut Seni Malaysia Melaka (Ismma) telah menjalankan tanggungjawab dan berjuang memartabatkan warisan serta jati diri negeri dengan melaksanakan pelbagai aktiviti.


“Saya yakin dan percaya, perjuangan murni ini perlu diteruskan oleh Ismma khususnya dalam projek-projek yang terarah serta terancang seperti projek angkat seni bagi sekolah-sekolah yang menunjukkan minat memartabatkan seni jati diri Melaka dan institusi adat Melayu.


“Selain itu, program perdana warisan seni dan jati diri Melaka dalam kalangan rakyat pelbagai kaum perlu terus memfokuskan kepada dondang sayang, joget dan tari Melayu serta puisi terutamanya nazam dan puisi-puisi lain seperti sajak, pantin serta adat-istiadat Melayu,” ujarnya.


Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.11 Sungai Udang berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Bersama Mencipta Kegemilangan: Pemimpin dan Penggiat Seni Budaya Negeri Melaka Serta Pelancaran Buku Anak Jati di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad; Pengerusi Ismma, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas serta Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib. - UTUSAN ONLINE