Kunjungan beliau bersama beberapa pemimpin Pakatan Harapan Melaka termasuk kemunculan pertama Tan Sri Rafidah Aziz serta penyertaan Tun Daim Zainuddin dalam beberapa siri ceramah sebelum ini menarik ribuan penyokong yang memenuhi Pusat Perniagaan Taman Bukit Piatu malam itu.

Hasilnya, pada PRU-14 semalam, Barisan Nasional (BN) kecundang di negeri kelahiran Hang Tuah apabila Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan negeri dengan memenangi 15 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

BN yang sebelum ini memerintah kerajaan negeri ha­nya memenangi 13 kerusi DUN manakala Pas gagal meraih sebarang kemenangan. Jika pada PRU-13, BN memenangi empat daripada enam kerusi Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Jasin tetapi kali ini dua daripadanya tumpas kepada Pakatan Harapan iaitu Alor Gajah dan Tangga Batu.

Parlimen Hang Tuah Jaya yang sebelum ini dikenali sebagai Bukit Katil dan sekali lagi mempertemukan Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan penyandang, Shamsul Iskandar Mohd. Akin (PKR), namun gagal untuk Mohd. Ali membuat kemunculan semula apabila tewas dengan majoriti lebih tinggi iaitu 8,460 undi.

Begitu juga dengan kerusi Parlimen Kota Melaka yang diisytiharkan sebagai kawasan hitam buat BN menyaksikan Khoo Poay Tiong (DAP) yang menggantikan bekas wakil rakyat DAP yang keluar parti, Sim Tong Him, mencatatkan majori­ti sebanyak 49,175 berbanding 20,746 pada PRU-13 menewaskan calon BN, Choo Wei Sern.

Bagi kerusi DUN pula, BN hanya menang 13 kerusi, berbanding 21 kerusi pada PRU-13 dan tujuh kerusi DUN yang jatuh kepada Pakatan Harapan adalah Rembia, Gadek, Ma­chap Jaya, Durian Tunggal, Paya Rumput, Kelebang dan Telok Mas jelas menampakkan bahawa faktor pemilihan calon menjadi antara punca kekalahan di semua kerusi itu.

Bagi BN Melaka, pencapaian pada PRU-14 kali ini dianggap merosot, paling teruk malah tiada sebarang kerusi DUN atau Parlimen yang berjaya dirampas semula sehingga negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Harapan malah sasaran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron untuk mencapai formula 24451 iaitu 24 kerusi DUN milik BN, empat milik pembangkang, lima kerusi Parlimen BN dan satu pembangkang jauh tersasar.

Apa yang berlaku hari ini adalah BN kini menjadi 131524, satu angka yang tidak pernah siapa pun menjangkakan namun bukan setakat BN Melaka yang gagal malah dua negeri berjiran iaitu Negeri Sembilan dan Johor turut tewas kepada Pakatan Harapan.