Beliau berkata, malah, lebih ramai wakil daripada komuniti itu amat diperlukan dalam pentadbiran kerajaan kerana pada masa ini hanya enam peratus Ahli Parlimen berketurunan Cina yang menyokong kerajaan berbanding populasi 23 peratus penduduk negara ini.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, untuk itu, mereka tidak seharusnya mempercayai segala agenda dan strategi gabungan pembangkang PKR untuk meraih sokongan komuniti itu termasuk menyebarkan dakyah bahawa akan berlaku ‘tsunami Melayu’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya boleh menjamin anda semua (masyarakat Cina) apa yang kita boleh laksanakan lagi untuk komuniti Cina (jika BN terus mentadbir kerajaan) dan kita perlukan lebih ramai wakil dalam kerajaan.

“MCA dan Gerakan telah bekerja keras untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina. Saya sering mendapat permohonan daripada Datuk Seri Liow Tiong Lai (Presiden MCA) dan Datuk Seri Mah Siew Keong (Presiden Gerakan) apa yang boleh kita laksanakan lagi untuk komuniti ini.

“Ini apa yang BN boleh janjikan untuk menyediakan segala kemudahan bagi komuniti ini. oleh itu, adalah satu kesilapan besar jika mempercayai apa yang DAP cakap termasuk untuk mengkaji semula perjanjian perdagangan kontrak dengan China sedangkan negara itu merupakan rakan dagang terbesar dengan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Kuen Cheng, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE