Secara peribadi beliau beranggapan calon anak tempatan wajar diberi peluang berdepan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pre­siden UMNO itu berkata, Majlis Tertinggi BN akan meneliti dan berbincang sama ada akan meletakkan calon dalam PRK ber­kenaan.

‘‘Jika BN bertanding di kerusi itu, pandangan daripada badan perhubungan negeri dan bahagian akan diambil kira sebelum memutuskan siapa yang layak mewakili BN,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya kemungkinan dipilih sebagai calon di Port Dickson, Mohamad berkata, beliau mahu memberi tum­puan kepada kes petisyen kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau terlebih dulu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd. Redza sebagai calon terbaik menentang Anwar.

Katanya, Abdul Rahman masih muda, berumur lingkungan 40 tahun, seorang peguam lulusan London School of Economics, selain merupakan wakil rakyat yang mempunyai prestasi baik.

“Saya ada sedikit pengalaman politik di Negeri Sembilan. Port Dickson atau dulu Teluk Kemang lebih baik diwakili calon tempatan. Walaupun sukar untuk BN menang, lebih baik calon tempatan,” katanya menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Beliau percaya calon anak tempatan wajar diberikan peluang berdepan dengan Anwar di kerusi tersebut.

Dalam pada itu, dalam balasan kepada catatan Twitter beliau, Khairy secara sinis menzahirkan rasa bangga apabila ‘anak tempatan’ bakal diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Den banggo waghih kito jadi Podano Montoghi nanti,” ujar Khairy.