Pemilihan Ramli, 61, dari suku kaum Semai adalah berdasarkan faktor yang boleh diterima semua pihak selain mendapat kepercayaan daripada penduduk tempatan serta latar belakang­nya yang baik dan kuat.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Ramli yang juga bekas Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman mempunyai pertalian darah yang kuat dengan pemimpin-pemimpin Orang Asli atau tok batin di Cameron Highlands.

Kata beliau, calon berkenaan juga merupakan individu yang berkecuali dan bukan ahli mana-mana parti, anak tempatan akan bertanding atas tiket BN sebagai ahli yang secara langsung seperti pernah dilaksanakan di Sarawak.

“PRK ini kita perlu menang setelah pihak pembangkang gagal empat PRK lalu. Kita harap dapat meletakkan titik noktah bahawa kerusi dimenangi BN di sini (Cameron Highlands) dapat dipertahankan.

“Misi kita untuk menang dan pastikan BN bangkit selepas hadapi tsunami politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Keyakinan kita untuk menang adalah 85 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran; Menteri Besar Pahang yang juga Pengarah BN PRK Came­ron Highlands, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan barisan kepemimpinan tertinggi UMNO.

Cameron Highlands menca­tatkan jumlah pengundi seramai 32,048 dengan Melayu seba­nyak 34.24 peratus; Cina (32.29 peratus); India (12.48 peratus) dan lain-lain 20.98 peratus.

Tambah Mohamad, pihaknya mengambil pendekatan berlainan pada PRK kali ini bersesuaian dengan suasana politik semasa.

Jika dahulu, kata beliau, pendekatan BN adalah parti yang mendukung calon tetapi kini, pihaknya mahu calon yang boleh mendukung parti.

“Calon itu sendiri menjadi faktor yang amat penting, bukan lagi parti. Itu sebabnya kita berunding, kita buat keputusan calon boleh diterima orang bukan calon yang parti suka,” ujarnya.