Hal sedemikian dilihat bertentangan dengan amalan kerajaan sekarang yang melaungkan prinsip berkenaan tetapi dalam masa sama menggugurkan kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

SHAHRUL NASRUN KAMARUDDIN
SHAHRUL NASRUN KAMARUDDIN

Mengulas isu berkenaan, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, kerajaan sekarang patut lebih profesional dalam menegakkan undang-undang.

"Kes pembelian banglo di bawah harga pasaran oleh Guan Eng hampir sama seperti kes dihadapi bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo.

"Ironinya, beliau berdepan proses perbicaraan dan dihukum penjara ketika Kerajaan berada di bawah BN.

"Namun ketika PH berkuasa, Guan Eng dibebaskan kerana Jabatan Peguam Negara telah mengugurkan pertuduhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau juga mempersoalkan tindakan Peguam, Datuk Hanafiah Zakaria yang tidak mahu meneruskan pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Bagan itu.

Shahrul Nasrun berkata, keputusan yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara terhadap kes Menteri Kewangan itu menimbulkan keraguan memandangkan mahkamah sudahpun mengambil keterangan 25 orang saksi.

"SPRM diminta siasat adakah wujud 'conflict of interest' antara Peguam Negara dengan Lim Guan Eng kerana terdapat dakwaan firma guaman milik Tommy Thomas lebih 10 tahun bertindak sebagai peguam Guan Eng.

"Sekiranya kes Guan Eng dibiarkan tanpa dibuka semula ini bermakna dalam Jabatan Peguam Negara kuasa Dato Hanafiah Zakaria melebihi kuasa Peguam Negara.

"Justeru, Tommy Thomas hanya mempunyai dua pilihan iaitu mengeluarkan waran supaya SPRM siasat dan buka semula kes atau letak jawatan," tegasnya. - UTUSAN ONLINE