Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, BN akan meletakkan calon yang benar-benar layak dan berpotensi untuk menang.

"BN akan mengadakan perbincangan dengan parti komponen supaya tidak timbul sebarang masalah selain perlu lebih memperhalusi tentang calon yang betul-betul layak.

"Saya sering mengingatkan kepada parti komponen agar memastikan calon yang dipilih biarlah calon yang boleh menang dan membawa kebaikan di kawasan yang mereka tandingi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Kenduri Sekampung di kampung Teluk  Penchalang, Pasir Panjang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim.

Zambry berkata, calon BN yang dipilih tidak boleh dibuat berdasarkan penilaian oleh satu parti sahaja.

"Ini kerana mungkin ada kerusi yang boleh dimenangi oleh BN tapi adalah malang jika tersalah pilih calon," katanya. - UTUSAN ONLINE