Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, usaha tersebut perlu kerana ketika ini rakyat sering dikelirukan oleh Pakatan Harapan yang diketuai DAP dalam apa jua isu sehingga mereka tidak yakin de­ngan kerajaan sedia ada.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan penerangan melalui semua medium terma­suk menggunakan media sosial, namun yang akan diberikan perhatian ialah memberi penerangan secara bersemuka di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Pakatan Harapan tahu mereka tidak boleh capai apa yang telah dijan­jikan kepada rakyat, jadi mereka manipulasi keadaan dengan memburuk-burukkan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga rakyat percaya.

“Dalam isu minyak petrol mi­sal­nya, Pakatan Harapan me­nuduh kerajaan menaikkan harga sesuka hati tanpa menjelaskan perkara yang sebenar mengenai harga pasaran dunia, tetapi bila harga turun mereka kata situasi itu disebabkan pasaran dunia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Tengku Adnan, semua jentera parti juga telah diberikan arahan dan penerangan menyeluruh berhubung perkara tersebut agar mereka boleh menarik balik kepercayaan rakyat kepada parti selepas dikelirukan oleh pemimpin pembangkang.

Mengulas mengenai Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei ini, Tengku Adnan merangkap Setiausaha Agung UMNO berkata, sambutan itu menjadi sambutan ulang tahun terbesar yang pernah dianjurkan parti keramat itu.

Katanya, walaupun penubuhan UMNO sudah melebihi 70 tahun, tiada istilah ‘tua’ dalam perjuangan parti kerana di­pimpin oleh seorang presiden yang mempunyai idea-idea perubahan yang hebat untuk memastikan parti terus kehadapan dan releven.