Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tiada guna untuk rundingan tersebut dijalankan ketika ini sekiranya selepas pemilihan itu MCA membuat keputusan untuk keluar daripada BN.

"Perbincangan dengan MCA kita menunggu selepas pemilihan mereka kerana kalau kita bincang sekarang pun kalau Gan Ping Sieu (calon Presiden MCA) menang dia dah cakap nak keluar daripada BN.

"We Ka Siong pula dia nak serahkan keputusan kepada perwakilan, jadi kalau kita sibuk bercakap tentang BN dan MCA sekarang, keputusan lain nanti, tiada guna," katanya.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mencadangkan supaya BN dijenamakan semula menjadi sebuah entiti baharu gabungan pembangkang supaya sistem dua parti dapat diwujudkan.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid telah memberi mandat kepada Mohamed Nazri selaku Setiausaha Agung BN untuk berunding dengan parti-parti teras BN seperti MCA dan MIC selain parti pembangkang lain termasuk Pas bagi melaksanakan hasrat tersebut.

Sementara itu, jelas Mohamed Nazri, bagi tujuan itu juga, beliau telah menghubungi Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan menunggu masa sesuai untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Kota Bharu. - UTUSAN ONLINE