Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Fuziah Salleh berkata, program tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri di mana akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut beliau, penganjur program tersebut telah mengarahkan pengerusi Felda Sungai Koyan mengeluarkan surat jemputan kepada peneroka bagi pihak penganjur tanpa memaklumkan kepada kementerian berkaitan.

"Secara terang-terangan arahan diberi kepada pengurusi Felda untuk megeluarkan jemputan ke karnival itu bagi pihak exco kerajaan negeri tanpa dimaklumkan kepada kementerian.

"Agensi-agensi kerajaan seperti Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) juga diarahkan untuk datang bagi menjayakan program tersebut," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kempen PRK Cameron Highlands bersama calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran di sekitar Tanah Rata di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu, kerajaan negeri Pahang harus sedar bahawa tempoh ini merupakan tempoh berkempen untuk PRK Cameron Highlands dan mereka sepatutnya tidak menyalahgunakan jentera kerajaan untuk tujuan tersebut.

Katanya, sebagai kerajaan kini, PH sendiri amat berhati-hati dalam menganjurkan sebarang program malah tidak menganjurkan program bersama rakyat menggunakan jentera kerajaan.

"Mereka tidak belajar perkara-perkara dan amalan pilihan raya yang bebas dan adil dengan tidak menggunakan jentera kerajaan dalam pilihan raya.

"Saya rasa ini secara tidak langsung cara kempen untuk menunjukkan siapa yang berkuasa, kononnya ini kerajaan yang harus disokong. Itu adalah tindakan yang salah dan saya akan sampaikan kepada pemerhati pilihan raya supaya mereka lihat perkara ini," katanya. - UTUSAN ONLINE