Demikian ditegaskan Pengerusi BN Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari apabila mendapati wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan seolah-olah 'menghilangkan diri' selepas memenangi pilihan raya umum lalu sehingga menyebabkan banyak masalah rakyat tidak mampu diselesaikan sehingga kini. 

Memberikan contoh di kawasan Parlimen Shah Alam, beliau difahamkan rakyat didapati tidak putus-putus menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kualiti perkhidmatan serta komitmen wakil-wakil rakyat di kawasan berkenaan yang dikatakan gagal memberikan perhatian sewajarnya terhadap masalah serta kebajikan mereka. 

"Sebenarnya rakyat di kawasan Parlimen Shah Alam ini sukar untuk mengadu permasalahan yang dihadapi mereka membabitkan isu kemudahan asas, peluang-peluang ekonomi, kebajikan dan sebagainya. Salah satu punca saya difahamkan, mereka susah untuk berjumpa dengan wakil-wakil rakyat terlibat yang sepatutnya mewakili mereka. 

"Bagaimanapun, apabila pilihan raya umum semakin hampir, barulah wakil-wakil rakyat terbabit kerap turun padang berjumpa dengan rakyat. Bagaimanapun, masalah yang ditanggung rakyat sejak sekian lama itu tidak mampu diselesaikan juga," katanya hari ini. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai acara jualan ikan murah menerusi Program Sentuhan Rakyat di Seksyen 18, di sini yang turut dihadiri Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Datuk Abdul Rahim Mat Shah. 

Dalam pada itu, Azhari yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam menegaskan bahawa BN sebaliknya telah memainkan peranan mendengar serta menyelesaikan permasalahan rakyat di Selangor khususnya di kawasan Parlimen Shah Alam melalui pelbagai program mendahulukan rakyat yang dijenamakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN ONLINE.