Pengerusi Biro Media dan Komunikasi BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, BN amat memahami kedudukan dan pendirian yang diambil oleh parti-parti komponennya di Sarawak untuk membentuk satu gagasan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Berikut merupakan kenyataan penuh Annuar:

1. Merujuk kepada perkembangan terbaharu Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini, BN Pusat amat memahami keputusan itu kerana ia sejajar dengan keperluan menangani situasi politik di negeri itu.

2. Justeru, BN Pusat cukup berlapang dada walaupun berat hati untuk menerima keputusan parti-parti politik di negeri itu untuk tidak lagi menganggotai BN yang mencapai kejayaan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016. BN menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

3. BN Pusat amat memahami kedudukan dan pendirian yang diambil oleh parti-parti komponen BN Sarawak untuk membentuk satu gagasan baharu yang dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

4. Sesungguhnya bibit-bibit awal kepada cadangan komponen BN Sarawak membuat penjajaran landskap politik baharu pada hari ini sebetulnya adalah dalam pengetahuan kita.

5. BN Pusat percaya keputusan politik yang pragmatik itu dibuat setelah difikirkan dengan mendalam berdasarkan keutamaan kepentingan negeri dan rakyat Sarawak dalam kedudukan situasi politik semasa tanah air.

6. BN Pusat akan terus menjalinkan hubungan yang baik dengan semua parti politik dalam negara lebih-lebih lagi parti-parti yang mendukung prinsip perjuangan yang sama walaupun berada dalam gagasan yang berbeza.

7. BN mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan dan parti komponen BN Sarawak atas segala kerjasama dan kesepakatan sepanjang perjuangan bersama.

8. Ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak yang selama ini memberikan kepercayaan yang tidak berbelah-bahagi kepada kerajaan BN.

9. BN Pusat mengucapkan selamat maju jaya kepada GPS dalam meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat dan negeri Sarawak. Hubungan baik antara BN dengan parti-parti di bawah GPS selama ini sudah pasti diteruskan agar BN tidak kehilangan rakan yang sangat akrab sebelum ini. - UTUSAN ONLINE