Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Kabinet Bayangan BN, Khairy Jamaluddin berkata, BN akan meneruskan falsafah ekonomi utama iaitu merancakkan pembangunan untuk mewujudkan peluang ekonomi dan kekayaan.

Katanya, insiatif tersebut bukan merupakan belanjawan alternatif kepada Belanjawan 2019 tetapi merupakan inisiatif BN berdasarkan kejayaan terdahulu kepada rakyat dan beliau mengharapkan ada idea yang akan diguna pakai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Antara inisiatif utama dalam teras merancakkan pembangunan ialah menyambung semula projek infrastruktur seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR).

"Selain itu untuk meningkatkan pengagihan antara inisiatif utama ialah pemberian subsidi petrol menggunakan kad pintar dan dalam segmen kalis masa depan pula BN mencadangkan cara bagaimana untuk mendepani populasi menua serta pendidikan berteraskan Revolusi Industri 4.0," katanya dalam sidang akhbar di bilik seminar Parlimen, hari ini. - UTUSAN ONLINE