Mengkaji satu persatu calon-calon yang disenaraikan oleh BN Selangor, Johor, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka ternyata kepemimpinan parti meletakkan barisan terbaik sama ada bagi mempertahankan pemerintahan atau menawan kembali negeri dikuasai pembangkang.

Selain itu berdasarkan sumber pemilihan juga berasaskan maklum balas daripada rakyat di peringkat akar umbi dan berpandukan calon yang mampu memberikan kemenangan kepada parti.

“Faktor penerimaan rakyat merupakan kriteria paling pen­ting untuk pemilihan calon kali ini, walaupun seseorang itu popular di dalam parti belum tentu ia akan dipilih,’’ kata sumber tersebut ketika dihubungi.

Menurut sumber, pucuk pimpinan parti mahu memastikan kriteria calon boleh menang dan disukai rakyat benar-benar boleh dicapai.

“Sebab itulah walaupun sebelum ini di negeri-negeri ada nama tertentu disebut-sebut akan bertanding tetapi apabila pengumuman dibuat mereka tiada dalam senarai. Semuanya bergantung kepada kaji selidik yang dibuat oleh pelbagai pihak dan tumpuan diberikan kepada apa kata rakyat,’’ katanya.

Apa yang diperkatakan ada benarnya apabila barisan calon bagi negeri Selangor paling menarik perhatian apabila menyaksikan 57 muka baharu disenaraikan iaitu 14 orang untuk kerusi Parlimen dan 43 orang bagi kerusi DUN.

Pemilihan calon itu dikatakan membuktikan kesungguhan kepemimpinan BN di bawah teraju Tan Sri Noh Omar yang mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang untuk merampas kembali pemerintahan negeri itu yang terlepas ke tangan gabungan pembangkang PKR sejak 2008.

Namun begitu pengumuman melibatkan beberapa calon turut menjadi bualan seperti Budiman Mohd. Zohdi yang hanya diberi mandat mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar yang beliau menangi dalam pilihan raya kecil 2016 dengan majoriti 9,191 undi.

Kerusi DUN Sungai Panjang yang sebelum ini turut disandang oleh beliau diambil alih oleh muka baru seorang peguam, Imran Tamrin, 31.

Bagaimanapun, pengumuman calon bagi kerusi Parlimen Gombak paling mendapat tumpuan apabila Ketua UMNO bahagian tersebut, Abdul Rahim Pandak Kamarudin dicalonkan bertan­ding di kerusi tersebut sedangkan sebelum ini Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Megat Zulkarnain Omardin disebut-sebut dipilih. Megat Zulkarnain disenaraikan untuk bertanding kerusi DUN Gombak Setia.

Di Johor pula, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipertanggungjawabkan bertanding dua kerusi iaitu mempertahankan DUN Permas dan kembali bertanding di Parlimen Pasir Gudang yang pernah diwa­kilinya selama dua penggal iaitu bermula 2004 hingga 2013. Penyandang kerusi tersebut Datuk Normala Abdul Samad digugurkan.

Turut disenaraikan ialah Setia­usaha Politik Menteri Pertahanan, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dicalonkan bertanding kerusi DUN Layang-Layang manakala bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Ghani Othman yang dalam PRU lalu tewas di kerusi Gelang Patah (kini Iskandar Puteri) di tangan Lim Kit Siang tidak dicalonkan semula.

Ketua Pengarah Jasa, Dr. Puad Zarkashi seperti mana dihebohkan sebelum ini, tidak dicalonkan se­mula untuk merampas kembali kerusi Batu Pahat. Tempat beliau digantikan Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat, Halizah Abdullah.

Di KELANTAN, sementara Pe­ngerusi BN Datuk Seri Mustapa Mohamed terus diberi amanah mempertahankan kerusi Parlimen Jeli dan DUN Ayer Lanas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula akan bertanding kali dua dalam PRU apabila dicalonkan bagi kerusi Parlimen Pasir Puteh. Pada tahun 2008 beliau bertanding di kerusi Parlimen Tumpat tetapi tewas.

Pengguguran penyandang ke­rusi Paloh, Datuk Norzula Mat Diah pula sememangnya sudah dijangkakan berikutan keadaan kesihatan beliau, tempatnya digantikan dengan muka baharu iaitu seorang pegawai diplomatik berlatar belakangkan agama, Amran Ariffin.

Pengumuman kerusi di NE­GE­­­­­RI SEMBILAN pula menyaksikan, bekas Pengerusi Felda yang juga penyandang kerusi Parlimen Jempol, Tan Sri Abdul Isa Samad digugurkan dan digantikan oleh Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif.

“Pengguguran Abdul Isa sememangnya sudah dijangka berikutan pelbagai kontroversi melibatkan beliau tetapi ramai percaya beliau adalah orang parti yang setia dan akan terus membantu parti mencapai kemenangan,’’ kata sumber berkenaan.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek dianggap menerima hadiah hari jadi beliau ke-72 yang akan disambut esok apabila terus diberi kepercayaan mempertahankan kerusi berkenaan. Sejak menduduki kerusi itu mulai 2004, beliau berjaya mempertahankannya dengan peningkatan undi majoriti iaitu daripada 8,763 undi kepada 10,409 undi (2008) dan 14,846 undi (2013).

Di MELAKA pula, keputusan mengekalkan Datuk Seri Idris Haron bagi mempertahankan kerusi DUN Sungai Udang menamatkan desas-desus beliau tidak lagi akan menjadi Ketua Menteri jika BN terus diberi mandat memerintah.

Turut dicalonkan semula ialah bekas Ketua Menteri, Tan Sri Mohd. Ali Rustam yang akan terus berusaha merampas kerusi Parlimen Bukit Katil (kini Hang Tuah Jaya) selepas tewas dalam PRU lalu.