Perkara itu disuarakan oleh Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan yang percaya blok pembangkang mesti diperkukuhkan untuk menghakis ego pemerintah yang disifatkan beliau sebagai membawa kemudaratan besar kepada agama, rakyat dan negara sekiranya dibiarkan.

Sehubungan itu, ujar Nasrudin, dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia, Pas mengambil sikap bekerjasama dengan UMNO tanpa sebarang perjanjian politik yang mengikat keduanya.

Manakala, di PRK DUN Balakong pula, kata Nasrudin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan kepada MCA atas semangat pembangkang.

“Sudah pasti keputusan yang dibuat itu berdasarkan pertimbangan politik semasa yang difahami daripada fiqh muwazanat (fekah timbangan membuat keputusan) dan fiqh al-waqi’ (fekah realiti).

“Kemenangan pembangkang dalam PRK ini, meskipun tidak mengubah kerajaan negeri, tetapi mampu membentuk kekuatan dalam kalangan gabungan pembangkang di DUN Selangor. Kekuatan tersebut boleh dimanfaatkan sebagai institusi semak imbang dan menjadi pembangkang konstruktif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE