Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, parti akan bekerjasama dengan mana-mana agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat siasatan berkaitan pemilihan parti.

“Biro Politik PKR telah mengarahkan JPP untuk segera menyelesaikan isu undi ragu bagi cabang-cabang yang berkaitan, dengan memanggil wakil kedua-dua calon Timbalan Presiden untuk memerhati proses tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Berkaitan isu undi hilang yang dibangkitkan oleh calon Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasir, Fahmi berkata, Biro Politik parti mengarah syarikat Baker Tilly yang mengesahkan integriti sistem pemilihan untuk menyiasat dan memberikan maklum balas pada kadar segera.

“Parti juga akan mengumumkan pelantikan sebuah syarikat pengauditan dalam masa terdekat untuk melakukan audit bebas terhadap keseluruhan proses pemilihan,” katanya.

Beberapa pemimpin daripada kem calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan sebanyak 8,926 undi hilang bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

Dalam sidang akhbar di Parlimen petang tadi, Akmal mendedahkan dakwaan kehilangan undi itu dikesan berlaku di 17 cabang iaitu sembilan cabang di Sabah dan lapan cabang di Selangor. - UTUSAN ONLINE