DR. MAHATHIR

Sebaliknya, peng­a­na­lisis politik, Lim Sian See menjelaskan, hakikat sebenarnya ia­lah masyarakat Cina ketika itu bimbang dengan slogan ‘Reformasi’ yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, bukannya sebagai sokongan terhadap Dr. Mahathir.

Menurut Sian See, slogan tersebut dikaitkan dengan rusuhan dan keganasan anti-Cina di Indonesia pada ketika itu dan masyarakat Cina di Malaysia tidak mahu perkara serupa berlaku di negara ini.

“Ramai pengundi Cina memilih BN ketika itu kerana rasa bimbang kepada tercetusnya situasi serupa, bukannya kerana sokongan kepada Dr. Mahathir. Lebih-lebih pada waktu itu, ekonomi negara terjejas teruk dengan krisis.

“Ketakutan dalam kalangan bukan Melayu itu melihatkan pe­mimpin tertinggi DAP, Lim Kit Siang dan (mendiang) Karpal Singh juga tewas di Pulau Pinang yang menyokong slogan Reformasi itu,” katanya.

Pilihan raya umum pada tahun tersebut menyaksikan UMNO yang menunjangi BN memenangi 72 kerusi berbanding 89 kerusi diwakili sebelum itu ekoran berlaku perpecahan dalam parti selepas pemecatan Anwar pada 1998.

Mengulas lanjut, Sian See berkata, berbeza dengan pilihan raya umum pada 2004, UMNO berjaya memperoleh kemena­ngan besar sebanyak 109 kerusi.

Beliau berpandangan, kemenangan besar itu bukan sahaja disumbang oleh populariti Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi kerana rakyat berbilang kaum lega kerana berakhirnya era pentadbiran Dr. Mahathir.

“Pada pilihan raya umum selepas itu pula, kita boleh lihat bagaimana ‘popularnya’ Dr. Mahathir, yang menyaksikan UMNO tewas banyak kerusi,” katanya sinis.