Bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman mendakwa, beliau tahu bahawa terdapat pihak tertentu yang diminta memberikan sumbangan, malah Dr. Mahathir sendiri pernah berjanji akan mendapatkan dana kewangan untuk PPBM.

“Kemudian Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perbincangan ada memberitahu saya tentang tokoh bilionair tempatan yang cukup dikenali ramai bersedia untuk menyumbangkan dana kewangan kepada parti.

“Tokoh korporat itu tergolong dalam kelompok individu terkaya di negara ini. Jadi mana mungkin PPBM berada dalam kesempitan kewangan sehingga perlu Dr. Mahathir merayu kepada orang ramai untuk menderma kepada parti tersebut?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir muncul dalam satu klip video merayu orang ramai supaya menghulurkan derma kepada PPBM bagi meneruskan perjuangan.

Tambah Kamarul Azman lagi, selang beberapa hari selepas perbincangan bersama Muhyiddin, beliau dimaklumkan Ahli Parlimen Pagoh itu ada ke luar negara dan difahamkan bagi berbincang dengan pihak-pihak tertentu berkaitan dana politik PPBM.

“Kemudian sewaktu mesyua­rat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, saya ada bertanyakan berkenaan kewangan parti kerana pada waktu itu sukar untuk menjalankan program kerana tidak diberikan peruntukan sewajarnya. Saya tahu pada waktu itu PPBM bukanlah dalam keadaan susah dari segi kewangan.

“Setiap kali sewaktu membincangkan agenda kewangan, Muhyiddin ada menegaskan bahawa kedudukan kewangan parti itu adalah urusannya dan Bendahari Agung PPBM, Datuk Mohamed Salleh Bajuri. Orang lain tidak boleh mempersoalkannya,” katanya.

“Justeru, sikap Muhyiddin yang cuba menyembunyikan kedudukan kewangan parti dilihat jelas bertentangan dengan prinsip parti yang kononnya te­lus dalam urusan pentadbiran,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata, rayuan derma oleh Mahathir dilihat tidak mempunyai kewajarannya kerana ya­kin bekas Perdana Menteri tersebut mempunyai sumber-sumber tersendiri yang boleh membantu dalam mendapatkan dana kewangan bagi PPBM.

“Sewaktu awal penubuhan PPBM, ada terdengar rungutan daripada ahli-ahli tentang masalah kewangan parti, namun Dr. Mahathir memberi keyakinan kepada kami bahawa ada individu yang sedia memberikan sumbangan kepada PPBM.

“Saya dimaklumkan bahawa individu tersebut merupakan tokoh korporat yang cukup ter­kenal. Jadi di sini saya ingin persoalkan, di mana pergi bantuan dana kewangan yang disalurkan oleh individu tersebut?” soalnya.