Namun, tidak ada lagi sebarang tindakan diambil atau Menteri Kewangan itu dipanggil oleh pihak berkuasa memberi keterangan mengenai kenyataan kononnya kerjasama UMNO dan Pas sebagai pengisytiharan perang kepada masyarakat bukan Melayu itu.

Di Perlis sahaja, hampir 20 laporan dibuat setakat ini, iaitu daripada UMNO, Pas, MCA, MIC, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk individu persendirian.

Justeru, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berharap agar pihak berkuasa dapat mempercepatkan siasatan terhadap Guan Eng selepas banyak laporan telah dibuat terhadapnya.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng itu agak janggal kerana datang daripada seorang menteri.

“Selama hampir 62 tahun sejak mencapai kemerdekaan rakyat negara ini hidup dalam keadaan aman, manakala hubungan antara kaum terjalin harmoni.

“Namun kenyataan seperti itu dilihat boleh menggangu gugat keharmonian kaum. Kita harap pihak berkuasa segera ambil tindakan,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Kangar di sini, semalam.

Selain Pas, sebanyak enam laporan dibuat masing-masing oleh wakil UMNO, MCA, serta MIC negeri ini.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman berkata, kenyataan provokasi seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Guan Eng.

“Tindakan sewajarnya perlu diambil. Kita minta pihak berkuasa, peguam negara mengambil tindakan tanpa sebarang prejudis,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan.- UTUSAN ONLINE