Persoalan itu dibangkitkan oleh Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika membahaskan usul menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Mengapa kerajaan belum bercadang untuk membentangkan RUU antilompat parti agar perbuatan itu boleh dihentikan?” soal beliau.

Soalan itu ditujukan kepada Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan sebarang hal berkaitan RUU.

Beberapa pemimpin PH sebelum ini turut membangkitkan kepentingan undang-undang tersebut kerana menyifatkan tindakan melompat parti sebagai ‘mengkhianati’ kepercayaan rakyat.

Sejak menang Pilihan Raya Umum Ke-14, tindakan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti dilihat memberi manfaat kepada PH terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahmad Maslan ketika perbahasan itu juga melontarkan hampir 20 persoalan kepada pelbagai kementerian yang perlu dijawab.

Antara soalan beliau ialah mengapa kerajaan menandatangani Statut Rom, mengapa hutang kerajaan meningkat serta kejatuhan harga saham dan bagaimana mahu mengekang kenaikan harga barangan.

Kesemua persoalan itu akan dijawab oleh setiap kementerian bermula esok dalam sesi penggulungan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong. - UTUSAN ONLINE