Sebaliknya diakui oleh banyak penduduk, hubungan rapat, sentuhan peribadi dan kemurahan hati Mohamad dengan rakyat menjadikan Timbalan Presiden UMNO itu amat disenangi dan disayangi ramai.

Kemurahan hati Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat itu menjadikannya tempat pengharapan terutama dalam kalangan penduduk yang kurang berkemampuan.

KHAIRI MUSA
KHAIRI MUSA 

Sehinggakan, menurut peniaga gerai makan di pekan Rantau, Khairi Musa, 50, Tok Mat jugalah menjadi tempat bantuan bagi mereka menyelesaikan tunggakan bil elektrik dan sebagainya.

“Ramai yang tak dapat bayar bil elektrik, sudah dapat surat merah, hampir kena potong, semua jumpa dengan dia, minta tolong bayarkan. Sampai begitu sekali beliau jaga penduduk di sini.

“Siapa-siapa yang pernah dibantu oleh Tok Mat di Rantau tapi tidak mengundi beliau semasa PRK nanti, tak tahulah bagaimana mahu kata,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Khairi menambah, dulu setiap hari Khamis, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau pasti dipenuhi rakyat yang mahu bertemu Tok Mat bagi memohon bantuan dan mengadu pelbagai masalah.

“Sentiasa sibuk pada hari Khamis, penuh dengan orang ramai. Tetapi apa yang saya yakin semua yang datang itu biasanya tidak akan pulang hampa,” katanya yang berasal dari Sungai Manik, Perak tetapi telah menetap di Rantau sejak tahun 1982.

MARIAM YUSOP
MARIAM YUSOP 

Sementara itu, peniaga, Mariam Yusop, 67, berkata, hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali pastinya dinanti-nantikan penduduk di sini.

“Warga emas tentunya paling seronok, merekalah golongan yang paling tidak akan dilupakan oleh Tok Mat. Semasa Hari Raya Aidilfitri pula, pekan Rantau akan meriah kerana Tok Mat akan membuat rumah terbuka, rakyat hadir dari seluruh negeri, juga dari luar Negeri Sembilan.

“Begitu juga saya difahamkan semasa sambutan Deepavali, masyarakat India banyak yang mendapatkan bantuan daripada Tok Mat termasuklah bagi tujuan membeli barangan membuat kuih-muih untuk perayaan tersebut,” katanya.

Suami Mariam, Sulaiman Abdullah, 67, pula berkata, pelajar dan murid di Rantau yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan serta yang berjaya melanjutkan ke institusi pengajian tinggi juga akan mendapat bantuan daripada Tok Mat.

“Pelajar yang dapat masuk universiti pasti mendapat bantuan kewangan bagi tujuan meringankan beban semasa pendaftaran. Mereka yang dapat sambung pelajaran ke Sabah atau Sarawak akan dapat bantuan lebih sedikit.

SULAIMAN ABDULLAH
SULAIMAN ABDULLAH 

“Ada seorang ibu dalam kalangan masyarakat India di sini yang berterus terang dengan saya baru-baru ini bahawa dia akan mengundi BN. Ini kerana mengenangkan jasa Tok Mat yang banyak membantu anaknya semasa menyambung pelajaran dahulu, sehingga kini dapat memperoleh pekerjaaan dan gaji mencecah RM28,000 sebulan,” katanya. - UTUSAN ONLINE