NIK MOHAMAD ABDUH

Jelas Mohamad Abduh, beliau sebenarnya bertanding jawatan tersebut hanya sekadar suka-suka.

“Biarlah yang lapar fitnah itu beraya (kekalahan Nik Moha­mad Abduh) sekejap. Saya hanya bertanding sekadar suka-suka sahaja. Jawatan yang sudah ada ini (Ketua Dewan Pemuda Pas) pun sudah tidak larat hendak pikul,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia hari ini.

Nik Mohamad Abduh yang buat pertama kali bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pengkalan Chepa sesi 2017/2019 tewas kepada penyandang, iaitu Dr. Izani Husin dalam pemilihan di sini semalam.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu sekadar mendapat 37 undi manakala Izani memperoleh 209 undi.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah terus diberi kepercayaan menjadi Yang Dipertua Pas Pengkalan Chepa bagi sesi akan datang setelah menang tanpa bertanding.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pengkalan Chepa, Nik Bahrum Nik Abdullah ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, tidak menjadi isu sama ada Nik Mohamad Abduh tewas atau tidak kerana itu adalah amalan demokrasi biasa di dalam parti.

Beliau berkata, amalan yang ditunjukkan itu membuktikan hanya Pas sahaja yang berani me­ngadakan pemilihan dalam kea­daan parti-parti lain menangguhkan pemilihan masing-masing.

“Sebagai contoh, UMNO menangguhkan pemilihan parti sehingga berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14, DAP pula selepas habis kes perbicaraan Lim Guan Eng manakala PAN sehingga kini masih tidak tahu apa-apa perkembangan,” katanya.