Menurut Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu, beliau tidak akan mengikut jejak langkah beberapa rakan yang lain yang mengadakan kerjasama dengan parti lawan seperti yang berlaku ketika ini.

“Saya akan terus bersama dengan UMNO. Ini lah tempat bernaungnya nenek, mak dan abah kami. Juga adik beradik kami dan insyaAllah anak cucu kami.

“Tidak mengapa diketawakan, diperkecilkan mahupun dikatakan tidak mengikut ‘jemaah’ untuk ‘berhijrah’. I am here to stay (saya akan terus setia di sini). InsyaAllah,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook miliknya hari ini.

Setakat semalam, seramai 17 ahli Parlimen UMNO telah mengumumkan keluar parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengumumkan keluar UMNO semalam, akan berlaku gelombang ketiga ahli bertindak keluar parti dalam masa terdekat. -UTUSAN ONLINE