Itu reaksi ringkas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim kepada media ketika ditemui selepas menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau, di sini hari ini.

Ismail yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar adalah diantara 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang menghadap Tuanku Syed Sirajuddin dan difahamkan pertemuan itu adalah bagi membincangkan mengenai soal siapa dalam kalangan mereka yang bakal dilantik menjawat kerusi nombor satu itu.

Dikatakan juga, pertemuan tersebut diadakan bagi membolehkan Tuanku Syed Sirajuddin mengenali dengan lebih dekat setiap wakil rakyat tersebut yang kebanyakkannya adalah muka baharu.

Kesemua wakil rakyat berkenaan tiba di istana pada pukul 3 petang dengan ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob dilihat menjadi individu terakhir keluar daripada pekarangan istana tersebut kira-kira pukul 7.15 petang.

Malah ketika ditanya soalan mengenai inti pati perbincangan dalam pertemuan tersebut, Nurulhisham hanya memberi jawapan bahawa soal pemilihan calon Menteri Besar masih belum diputuskan.

“Tidak putuskan lagi, Insya-Allah dua atau tiga hari lagi akan dimaklumkan,” katanya.

Terdahulu, ADUN Santan, Azizan Sulaiman ketika ditemui berkata, Tuanku Syed Sirajuddin meluangkan masa bertemu dengan setiap wakil rakyat yang hadir.

“Tidak ada perbincangan mengenai siapa Menteri Besar sebaliknya hanya sesi berkenalan secara peribadi dan lebih dekat dengan Tuanku Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin).

“Setiap daripada kami bertemu dan berbual dengan Tuanku Raja Perlis kira-kira 30 minit,” katanya yang juga disebut-sebut sebagai antara calon Menteri Besar.

Baru-baru ini, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, supaya diberi peluang untuk mengenali calon Menteri Besar sebelum boleh melantik individu untuk menjawat kerusi nombor satu itu selain memaklumkan bahawa baginda tidak mengenali kebanyakan wakil rakyat yang dipilih di negeri ini.

Sebelum itu, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan cadangan nama Ismail yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) minggu lalu menyaksikan BN menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini sekali gus memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. - UTUSAN ONLINE