Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keputusan telah dibuat Sultan Muhammad V dan Pas Kelantan wajar menghormati keputusan Seri Paduka.

“Pas Pusat pun sudah keluarkan kenyataan rasmi berhubung perlantikan, bagi saya, tidak perlu mengulas lebih lanjut lagi memandangkan perkara ini sudah dipersetujui.

“Kita biarlah dia (Tommy) melaksanakan tugas dulu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Semalam, Sultan Muhammad V memperkenan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang ditamatkan perkhidmatan.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong menyeru semua rakyat Malaysia menerima bahawa patut Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil. - UTUSAN ONLINE