Semalam, sering sahaja sesi soal jawab dan perbahasan terganggu sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof terpaksa menutup mikrofon beberapa kali.

Masalah itu tidak eks­klusif kepada mana-mana pihak. Dalam hal ini, pihak kerajaan dan pembangkang kedua-duanya ada wakil yang ‘nakal’.

Perkara ini berlaku ke­rana provokasi. Boleh dikatakan, kebanyakan ‘gangguan’ dalam sidang Dewan Rakyat kali ini adalah ke­rana kes-kes rasuah yang sedang dalam perbicaraan dan siasatan dibangkitkan.

Contohnya, ketika mem­bahaskan Titah Diraja semalam, Akmal Nasir (PH-Johor Bahru) membangkitkan skandal rasuah melibatkan pemimpin-pemimpin Pas yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia menyebabkan hampir semua Ahli Parlimen Pas bangkit mempersoal tindakan tersebut dan membazir masa perbahasan sehingga kira-kira 20 minit.

Begitu juga dengan perbahasan hari ini yang kebanyakannya terganggu kerana skandal terowong Menteri Kewangan dibangkitkan sedangkan perkara tersebut masih dalam siasatan.

Provokasi begitu akhir­nya akan merugikan masa perbahasan kerana kedua-dua pihak akan berbalas-balas dakwaan yang tidak relevan dengan teras perbahasan.

Walaupun sesetengah Ahli Parlimen merasakan mereka boleh mendapat manfaat politik daripada provokasi sebegitu, sebaiknya ia dielakkan demi memelihara kemuliaan Parlimen.

Ahli Parlimen perlu sedar, mereka bukan sahaja wakil rakyat malah suri teladan kepada rakyat maka berubahlah, beri peluang kepada rakyat menonton perbahasan yang berkualiti dan damai di Parlimen.