Kemasukan wakil-wakil rak­yat berkenaan adalah selepas sebulan parti dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu mengumumkan hasrat untuk melebarkan sayapnya ke Negeri Di Bawah Bayu tersebut

Enam wakil rakyat terlibat ialah dua ahli Dewan Undangan (ADUN) dan empat ahli Parlimen Sabah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Mereka ialah ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Mohd. Noor dan ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun serta empat ahli Parlimen iaitu Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Azizah Mohd. Dun (Beaufort) serta Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat).

Sementara itu, dua senator terlibat pula ialah Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose.

Dr. Mahathir dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini menyerahkan kad keahlian parti kepada mereka.

Meskipun Bersatu telah ber­tapak di Sabah, jelas Dr. Mahathir, parti itu akan menyokong kerajaan negeri Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Tegasnya, Bersatu tidak mem­punyai niat untuk menge­tepikan atau menggantikan kerajaan di negeri itu.

‘‘Bersatu akan ke Sabah pada 6 April ini tetapi sebelum kita datang pun ada permintaan untuk menyertai Bersatu di Sabah.

‘‘Kita telah memberi tempat kepada Warisan walaupun mereka bukan anggota Pakatan Harapan (PH). Kita beri tempat dalam Kabinet.

“Parti-parti komponen PH akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri Warisan,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan berkenaan.