Beliau yang kini adalah Naib Ketua Cabang PKR Seremban memberitahu, langkah itu akan membolehkan beliau mendekatkan diri dengan ahli-ahli parti di kampung dan kawasan tanah rancangan Felda.


Katanya, sudah tiba masanya beliau berbuat demikian memandangkan kedudukan PKR di kawasan bandar lebih kuat dan mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan.


“Saya ingin keluar daripada kepompong keselesaan dan meneruskan perjuangan supaya PKR dapat digerakkan di seluruh pelusuk negeri ini.


“Keputusan ini dibuat tanpa desakan atau permintaan daripada sesiapa pun malah Cabang PKR Seremban tidak dimaklumkan lebih awal mengenai hasrat saya ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan surat pelantikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.


Borang pencalonan Aminuddin bertanding jawatan itu telah diserahkan oleh wakilnya di pejabat PKR negeri di sini semalam.


Beliau yang memegang jawatan Naib Ketua Cabang Seremban sejak 2007 akan mencabar penyandang jawatan tersebut sejak dua penggal lalu, Kapten (B) Zulkapli Kassim.


Aminuddin memberitahu, beliau sedia menerima apa jua keputusan yang akan dibuat oleh para perwakilan PKR di Tampin sama ada mahu menerima tawaran itu atau sebaliknya.


“Sebelum menawarkan diri semalam, saya tidak menemui mana-mana ahli PKR di Tampin untuk menyatakan hasrat ini,” ujarnya.


Di tanya mengenai kedudukan beliau dalam kem Rafizi Ramli yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, Aminuddin menjelaskan, ia bukan satu masalah kerana pertandingan itu dijalankan atas dasar persahabatan bertujuan menawarkan diri berkhidmat kepada rakyat. - UTUSAN ONLINE