Itulah senario kemelut politik kerajaan PKR Selangor susulan batalnya tahaluf siyasi Pas-PKR.

Inilah juga agaknya dilema yang sedang dihadapi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bukan soal tiga Exco Pas dalam kerajaan PKR negeri itu harus ditunjukkan jalan keluar. Ini kerana Mohamed Azmin sendiri menolak gesaan yang diusulkan PAN, parti serpihan Pas itu.

Pendirian Menteri Besar itu jelas melalui ungkapan yang sinikal dan tegas pada 9 Mei lalu iaitu “persetankan mereka yang mabuk mencari publisiti dan populariti murahan” - sambil Timbalan Presiden PKR itu memberi lampu hijau tiga Exco Pas itu kekal ke­rana rakyat pilih mereka dalam pilih­an raya umum lalu.

Cuma persoalan dalam isu pecat atau tidak tiga exco itu kini telah ‘berpindah’ atau lebih banyak berkisar pada keduduk­an jawatan Menteri Besar yang disan­dang Mohamed Azmin.

Orang politik maklum Moha­med Azmin banyak ‘musuh dalam selimut’. Semua tahu beliau tidak selesa dengan Naib Presiden par­­tinya, Rafizi Ramli. Dengan presi­den, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail demikian juga.

‘Langkah Kajang’ yang cuba menaikkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar tetapi tidak kesampaian kerana gagal bertanding di DUN Kajang kerana kes liwatnya, sebelum cuba ‘digalas’ oleh Wan Azizah, pun tidak menjadi kenya­taan, meninggalkan parut yang masih luka.

Malah Mohamed Azmin juga terpaksa berdepan dengan kumpulan penyokong bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Lagipun beliau menjadi Menteri Besar pun atas ihsan Pas yang menyokong beliau meskipun Pas memiliki peluang mengi­sinya.

Permainan ‘api dalam sekam’ terus melingkari kemelut kerajaan PKR Selangor.

Setelah ‘Langkah Kajang’ gagal, adakah Mohamed Azmin perlu me­nempuh satu lagi episod untuk kali ini mengekalkan jawatan Menteri Besar.