Malah jangan ada pihak mencemuh tindakan Mustapa atau Tok Pa kerana seperti mana kata beliau, kemasukannya ke dalam Bersatu bagi membolehkan ``saya memainkan peranan yang lebih berkesan bagi membela kepentingan pengundi saya di Jeli dan rakyat Kelantan."

Justeru pengundi di Jeli dan rakyat Kelantan perlu berasa bertuah kerana selepas ini mereka pasti akan menikmati pembangunan dan kesejahteraan yang mengagumkan kerana Mustapa sudah boleh memainkan peranan berkesan berbanding selama 40 tahun berada dalam UMNO dan berpuluh tahun menjadi menteri termasuk menjadi Menteri Kewangan II.

Mereka tidak perlu bimbang lagi kerana Jeli pasti akan menjadi daerah paling maju di Kelantan manakala negeri Cik Siti Wan Kembang tidak akan menjadi antara negeri termiskin di negara ini.

Selain itu rakyat Pantai Tmur boleh mengharapkan tempias keberkesanan Mustapa menyertai Bersatu selepas ini memandangkan bekas Setiausaha Politik Tun Daim Zainuddin tersebut sudah pasti mampu menyakinkan kerajaan Pusat meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Penulis yakin kebijaksanaan Mustapa akan memberi keyakinan kepada kerajaan Pusat supaya tidak membatalkan projek tersebut.

 Oleh itu penyertaan Mustapa harus disambut dengan `seribu kesyukuran’ kerana ia bakal memberi manfaat cukup besar kepada penduduk Pantai Timur khususnya di Kelantan. Penulis yakin sebagai seorang tokoh politik hebat, berintegriti dan berwibawa, Mustapa akan dibawa kembali ke dalam Kabinet.

 Jika itu berlaku sudah pasti ia anugerah kepada rakyat Kelantan kerana penyertaan Mustapa dalam Kabinet  akan membolehkan beliau memberi peranan lebih berkesan untuk membantu mereka dan lebih penting akan mencapai cita-cita Mustapa untuk menumbangkan Pas selepas gagal berbuat demikian sepanjang menerajui UMNO.

Maklumlah Bersatu tidak seperti UMNO. Mustapa sudah menegaskan, hala tuju UMNO hari ini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan beliau. Ia bermakna Bersatu lebih sesuai dengan jiwa perjuangan beliau iaitu sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah.

 Oleh itu hormati keputusan Mustapa, beliau menyertai Bersatu demi rakyat kerana mahu memainkan peranan lebih berkesan.

Lagipun buat apa berada dalam UMNO yang sudah tidak lagi mempunyai kuasa di peringkat pusat, nanti tidak berkesan pula mahu berkhidmat untuk rakyat walaupun ramai lagi wakil rakyat yang terus berjaya menjalankan tugas mereka biarpun sudah berpuluh-puluh tahun jadi pembangkang sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. Apapun inilah politik. - UTUSAN ONLINE