Zaid Ibrahim

Semasa Himpunan 355 diberi sokongan meluas oleh umat Islam yang berbondong-bondong hadir di Padang Merbok, Kuala Lumpur dari petang hingga ke malam kelmarin, boleh pula Zaid bertindak ‘tikam belakang’ untuk menggagalkan usaha ini.

Tindak-tanduk Zaid mencela RUU 355 atas satu platform dikenali ‘Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi’ anjuran Aktivis DAP dan NGO di Tasik Taman Jaya, Peta­ling Jaya petang kelmarin agak memeranjatkan. Memeranjatkan bukan kerana pasal diri Zaid (yang memang dikenali begitu ‘luar biasa’ keputusannya), tetapi kerana hujah-hujahnya di depan khalayak yang 80 peratus bukan Melayu.

Kata Zaid: “Usul RUU 355 ini bukan soal agama dan bukan bersifat Islam. Ini usul politik.

“Undang-undang ini tidak ada di negara Islam lain yang moden. Jangan ambil kira negara Taliban. Saya sebagai pengamal undang-undang, saya tahu di negara kita tidak ada peguam yang cukup untuk melaksanakan hukuman bagi undang-undang hudud ini.”

Nak berderau darah ini men­dengarnya. Begitu prihatin Zaid dengan himpunan kecil yang tidak mendapat sambutan itu dengan cuma dihadiri 150 orang, tetapi nada dan hujah yang dibangkitkannya begitu ‘teruja’.

Meskipun telah diperjelaskan berulang kali RUU Pindaan Akta 355 ini sama sekali tidak terpakai kepada golongan bukan Islam - kerana akta itu sendiri menjelaskan hanya melibatkan orang Islam serta bukan ‘pintu belakang’ melaksanakan hudud - itu semua tidak diendahkan Zaid.

Tindak-tanduk Zaid seolah-olah dia enggan mendalami atau bertanyakan signifikan untuk dipinda Akta 355 ini.

Tambah menyedihkan lagi dalam himpunan di Petaling Jaya itu, terbit hujah-hujah dang­kal daripada beberapa aktivis yang memakai nama Melayu.

Haris Ibrahmi, Siti Kassim dan Azrul M.Khalib kesemua­nya senada: “Hudud ini bukan undang-undang Tuhan, ini undang-undang manusia, ini undang-undang Pas. Kami terpaksa menentang RUU355 kerana ini bukan undang-undang Tuhan, ini undang-undang Hadi.”

Mengapa Zaid? Mengapa ka­mu berpelakuan begitu?

Adakah barangkali kamu di­pergunakan untuk menggagalkan pindaan RUU 355?