Justeru, apabila Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin ‘menegur’ keghairahan pe­mimpin dalam pergerakan itu melobi untuk menjadi calon, penulis berpendapat ia teguran yang tepat. Sebagai ketua beliau menyokong sesiapa sahaja dalam Pemuda untuk menjadi calon, walaupun ‘risiko’ terhadap beliau sedikit sebanyak pasti ada.

Namun dalam situasi politik ketika ini dan ketika UMNO sedang berusaha bermati-matian untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya, pemimpin dan ahli UMNO tidak harus membuang masa bercakap siapa akan menjadi calon atau melobi menjadi calon, tumpuan sepenuhnya ialah memastikan UMNO tidak kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Soal siapa menjadi calon biarlah pucuk pimpinan parti menentukannya selepas membuat kajian terperinci individu-individu yang layak. Tidak payah bersusah payah untuk kekal menjadi calon atau mahu menjadi calon, semua itu tidak ada faedahnya kerana apa yang penting adalah kemenangan parti.

UMNO perlu turun ke gelanggang tanpa sebarang kepinca­ngan bukan sahaja dari segi jentera tetapi juga calon. Kemenangan untuk parti adalah jauh lebih penting berbanding menaikkan karier seseorang dalam politik.

Tiada gunakan menjadi calon, kalau parti akhirnya kalah dalam pilihan raya. Oleh itu bermuhasabahlah. Fahamilah PRU-14 diramalkan akan menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah. Pakatan Harapan sedang mengumpul kekuatan untuk merampas Putrajaya.

Adalah tidak wajar ketika pakatan pembangkang mempunyai semangat sedemikian, dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO pula turut bersemangat, tetapi bersemangat ma­hu melobi menjadi calon.

Justeru semangat yang perlu ada dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO ialah memastikan kemenangan parti tidak kira siapapun menjadi calon dan meranapkan impian Pakatan Harapan daripada menumbangkan Barisan Nasional (BN), tiada boleh ada semangat lain!