Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, justeru itu tiada sebarang perubahan akan dibuat kerana kerusi yang diperuntukkan kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) masih kekal hingga kini.

"Kawasan itu (DUN Rantau) telah diperuntukkan kepada PKR dan kita tidak akan buat sebarang perubahan kerana setakat hari ini, kerusi yang telah diperuntukkan kepada parti komponen PH masih kekal macam yang lepas.

"Semuanya sudah dimuafakatkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dan jika kerusi itu (milik) PKR, jadi parti itulah yang putuskan siapa calon paling sesuai di situ," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelantikan Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu lebih sesuai bertanding di Rantau berbanding PKR memandangkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan akan bertanding di kawasan itu.

Sementara itu mengulas mengenai isu MCA dan MIC yang mahu Barisan Nasional dibubarkan sekali gus menguatkan lagi PH, Muhyiddin berkata, perkara itu sukar dijangka.

"Itu keputusan mereka buat, kita di sebelah sini terima sahaja apa keputusan dan keadaan dari sudut politik dan lain-lain. Sama ada impak besar atau tidak, perkara ini sukar dijangka," katanya.

Semalam, MCA dan MIC memutuskan untuk keluar daripada BN bagi meneroka pakatan baharu yang mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian.

Berhubung permohonan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang mahu menyertai Bersatu, Muhyiddin berkata, pucuk pimpinan parti masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya diberitahu beliau sudah mengemukakan permohonan beberapa bulan lepas, tetapi keputusan penerimaan belum dibuat oleh pucuk pimpinan. Orang mahu mohon, boleh mohonlah tetapi keputusan tertakluk persetujuan kita," katanya. – UTUSAN ONLINE