Ini kerana selain Pengerusi parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiada lagi tokoh dilihat berkaliber untuk memperkukuh­kan kedudukan Bersatu dalam Pakatan Harapan (PH).

Malah dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Peta­ling Jaya, lewat malam tadi, Dr. Mahathir sendiri melahirkan kegembiraanya terhadap penyer­taan Mustapa yang dianggap sebagai seorang tokoh dalam parti lamanya, UMNO.

MUSTAPA MOHAMED
MUSTAPA MOHAMED 

Mustapa juga sempat menyampaikan ucapan dalam sidang akhbar sama selepas menghantar borang menyertai Bersatu semalam, dengan menjelaskan penyertaan beliau antara lain adalah bagi membantu PH membangunkan ekonomi negara dan memperkasakan golongan bumiputera.

“Saya ingin rakamkan ucapan terima kasih kerana menerima kemasukan saya. Ini membolehkan saya memainkan peranan yang lebih berkesan bagi membela kepentingan pe­ngundi saya di Jeli dan rakyat Kelantan,” katanya.

Mustapa pernah berada dalam Kabinet Dr. Mahathir sebagai Menteri Pembangunan Usahawan serta menjadi Menteri Kewangan II pertama yang dilantik ketika Malaysia berdepan Krisis Kewangan Asia kira-kira 20 tahun lalu.

Dalam situasi Bersatu akan ‘kehilangan’ jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah tentu ahli Bersatu amat memerlukan seorang tokoh besar bagi memastikan parti itu terus relevan dalam PH.

Pemerhati turut melihat kemasukan Mustapa boleh dianggap sebagai ‘umpan’ untuk menarik lebih ramai pemimpin UMNO untuk menyertai Bersatu.

Ditanya kemungkinan terdapat lagi pemimpin kanan UMNO mengikut jejak langkah Mustapa, Dr. Mahathir hanya menjawab pihaknya akan melihat perkembangan yang berlaku.