Setiausaha Bersatu negeri, Wan Saiful Wan Jan memberitahu, langkah tersebut adalah bagi memberi peluang rakyat di negeri ini menjadi ahli parti tersebut.

“Sebagai parti yang sedang menanti untuk menjadi kerajaan di negeri ini, kita mahu menawarkan pelbagai khidmat kepada rakyat.

“Kita juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dalam menjaga kebajikan rakyat Perlis disamping memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat pimpinan Bersatu Perlis di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Bersatu negeri, Ameir Hassan dan dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa Bersatu negeri ini.

Tambah Wan Saiful, antara agenda lain yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah mengenai persediaan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian Bersatu di Perlis serta mengenal pasti mekasnisme pemilihan ahli jawatankuasa parti itu.

“Kita mahu pastikan bahawa semua ahli jawatankuasa penaja bersedia dengan sebaiknya agar mesyuarat-mesyuarat kita berjalan lancar,” katanya. - UTUSAN ONLINE