ARAU 19 Nov. - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy memberi penjelasan berhubung kenyataan dibuatnya dalam satu temu bual di luar negara 10 tahun lalu.

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Arau, Dr. Ammar Hassan berkata, bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu perlu memberi pencerahan terhadap video yang tular tersebut bagi mengelak kebimbangan rakyat di negara ini.
Katanya, pencerahan tersebut penting memandangkan Waytha Moorthy adalah menteri berkaitan perpaduan seterusnya memberi keyakinan semula kepada rakyat khususnya umat Islam yang marah dalam isu berkenaan.
“Saya jangka beliau (Waytha Moorthy) bercakap dalam keadaan emosi ketika itu dan beliau perlu segera memberi penjelasan dan pencerahan mengenainya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam video berdurasi 2 minit 39 saat itu, Waytha Moorthy mendakwa Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang besar dengan mendiskriminasi hak kaum India dalam pelbagai perkara termasuk hak beragama
Berikutan itu, ramai pihak termasuk dalam kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dan marah seterusnya mendesak Waytha Moorthy
segera meletak jawatan.
Sementara itu, Ammar juga meminta Waytha Moorthy tidak menyentuh lagi soal Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) memandangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah memberi penjelasan.
“Dr. Mahathir sudah memberi penjelasan bahawa ICERD sukar dilaksanakan kerana ia akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Lebih baik tidak sentuh lagi soal itu kerana dikhuatiri mengundang krisis perkauman,” katanya. - UTUSAN ONLINE