NASHARUDDIN MAT ISA
NASHARUDDIN MAT ISA

Malah keegoan Trump jelas terserlah apabila beliau sanggup mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sedangkan ia merupakan ibu negara Palestin.

Berikut merupakan kupasan lanjut wartawan SAJIDA ASARULAH KHAN mengenai isu Baitulmuqaddis bersama Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), DATUK DR. NASHARUDDIN MAT ISA untuk ruangan lima soalan.

Utusan: Apa pandangan Datuk mengenai Perhimpunan Solidariti yang bakal diadakan pada 22 Disember ini dan bagaimana himpunan ini mampu memberi impak kepada isu Baitulmuqaddis agar ia tidak sekadar menjadi himpunan biasa?

NASHARUDDIN: Mari kita bersama-sama mendoakan agar perhimpunan tersebut mendapat rahmat dan petunjuk dari Allah SWT sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia, sama ada Muslim atau bukan Muslim malah saya berharap masyarakat bukan Islam hadir sama menyokong himpunan tersebut. Saya sendiri bercadang untuk menghadiri himpunan tersebut walaupun ketika ini masih di Bangkok atas urusan kerja. Saya berharap agar lebih ramai masyarakat memberikan sokongan dan berdoa untuk saudara kita di Baitulmuqaddis.

Apa lagi yang rakyat Malaysia boleh lakukan selain seruan memboikot produk Barat yang menyokong tindakan Israel?

Masyarakat boleh menunjukkan sokongan kepada Baitulmuqaddis dengan cara sendiri mengikut kemampuan masing-masing namun apa yang penting mereka perlu mempunyai kesedaran dan pemahaman yang tinggi terutama dalam isu Al Quds, Masjid Al-Aqsa dan Pa­lestin. Di negara ini sendiri banyak pusat pengajian yang berusaha ke arah tersebut antaranya Yayasan Al- Quds Malaysia dan secara kebetulan saya adalah Pengerusinya. Terdapat pelbagai projek dan penerbitan yang dijalankan oleh yayasan ini. Masyarakat boleh membantu memberikan sumbangan kepada yayasan tersebut dan bersama-sama tingkatkan kefahaman terutama dalam isu Masjid Al-Aqsa dan Palestin.

Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan mengumumkan rancangannya untuk membuka kedutaan di Baitulmuqaddis Timur sebagai membuktikan pengiktirafan ke atas Palestin. Adakah Malaysia dan negara-negara Islam lain perlu mengikut jejak langkah tersebut?

Malaysia dan negara Islam lain perlu mengikut jejak langkah Turki dan membuka kedutaan di sana dan secara tidak langsung kita sebagai negara Islam memberikan sokongan untuk terus membantu Palestin.

Tindakan AS jelas sekali melanggar undang-undang antarabangsa dan keputusan sebelah pihak kuasa besar itu, bagaimana Datuk melihat situasi ini?

Bagi saya tidak ada yang pelik dengan keputusan Trump kerana kita semua tahu hubungan antara AS dan rejim Zionis antarabangsa, cuma sekiranya dibandingkan dengan presiden-presiden AS yang lain, Trump lebih jelas menunjukkan sokongan dan pendiriannya terhadap Zionis dan penubuhan negara haram Israel. Keputusan Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri. Namun tindakan itu sudah dijangka kerana sebelum ini AS tidak menghormati keputusan PBB antaranya tidak mengundi resolusi berkaitan dengan kesederhanaan yang dibentang Malaysia pada 8 Disember lepas.

Sekiranya, AS terus berkeras dengan isu Baitulmuqaddis, apa langkah yang perlu Malaysia ambil dari segi diplomatik, ada yang mahu ke peringkat memutuskan hubungan?

Mengenai hubungan diplomatik ini kita serahkan kepada kepemimpinan negara, cuma pada pendapat saya sekiranya kita memutuskan hubungan diplomatik dengan sesebuah negara itu, ia hanya mudah untuk diungkap daripada dilaksanakan.