Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, selama ini, ketua bahagian dan cawangan di seluruh negara sering mengadu kepada beliau bahawa 'kantung' mereka kosong sehingga sukar untuk melaksanakan program di kawasan masing-masing.

Sehubungan itu tegas beliau, tindakannya mencadangkan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan dalam Perhimpunan Agung parti baru-baru ini berasas, selain menyifatkan cadangan itu dibuat di tempat yang betul dan pada masa yang tepat.

sanbut bagai

Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman  (tengah) gembira dikelilingi oleh para penyokongnya yang menanti dengan kain rentang sewaktu menyambut ketibaannya di  Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN ONLINE/GHAZALI BASRI

"Apa saya sebut itu tidak ada skrip, tetapi spontan. Saya terfikirkan perkara itu kerana ramai ketua bahagian dan cawangan datang kepada saya berkongsi masalah mereka, bukan Kelantan sahaja tetapi seluruh negara. Sebagai Naib Presiden, saya rasa perlu suarakan perkara ini.

"Bagi saya, kita berpijaklah di bumi nyata. Kalau kita tidak ada duit, (maka) tidak adalah. Dalam memberi khidmat kepada masyarakat, kita tidak boleh berjimat. Takkan kita nak ulangi kepincangan kerajaan dulu? Kita nak rakyat sokong kita secara berterusan, bukan sepenggal sahaja," katanya.

Terdahulu, Abdul Rashid yang baru tiba dari Kuala Lumpur disambut dengan laungan kata-kata semangat kira-kira 100 ahli dan pemimpin Bersatu negeri, termasuk Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md. Noor di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kubang Kerian, di sini hari ini.

Dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Ahad lalu, Abdul Rashid mengemukakan cadangan supaya kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan bagi membolehkan mereka menambah dana untuk menggerakkan parti.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala beberapa pemimpin sayap termasuk Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengecam Abdul Rashid secara terbuka.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, beliau kesal kerana dikecam pelbagai pihak dan dilabel pelbagai gelaran termasuk mengamalkan kronisme tanpa sempat menjelaskan secara terperinci cadangan tersebut.

Katanya, beliau menghormati pandangan Syed Saddiq sebagai golongan muda yang mempunyai idealisme sendiri namun enggan melayan Menteri Belia dan Sukan itu kerana khuatir boleh mengundang perbalahan yang akhirnya hanya akan merugikan parti pada masa depan.

Mengenai desakan supaya beliau meletak jawatan sebagai Naib Presiden kerana menjejaskan reputasi parti, Abdul Rashid berkata, tidak ada sebab beliau mahu berbuat demikian kerana desakan tersebut bukan dari dalam parti, sebaliknya oleh pihak luar yang tidak ada kena mengena dengan Bersatu.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, Bersatu Kelantan berdiri di belakang Abdul Rashid dan menyokong Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu itu dalam menyampaikan suara hati pemimpin akar umbi supaya didengari pucuk pimpinan parti. - UTUSAN ONLINE