Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), calon PKR, Fuziah Salleh menewaskan calon BN daripada MCA, Datuk Fu Ah Kiow dengan majoriti 1,826 undi.

Kekalahan calon MCA bagi kerusi yang secara tradisinya milik BN itu bukan disebabkan parti lemah, tetapi lebih kepada undi protes penduduk berikutan pelbagai isu dalaman ketika itu.

Sebelum ini, Parlimen Kuantan diwakili calon UMNO sebelum kerusi tersebut diserahkan kepada MCA pada Pilihan Raya Umum 2004.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, UMNO kembali bertanding di kerusi berkenaan menerusi calonnya, Datuk Sufian Awang namun masih gagal merampas Parlimen Kuantan yang sekali lagi dimenangi Fuziah.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), desas-desus mengenai calon BN yang akan mewakili parti itu terus diperkatakan dan MCA menerusi Pengerusi negerinya, Datuk Hoh Khai Mun dilaporkan berharap Parlimen Kuantan dikembalikan kepada parti komponen berkenaan.

Jika kerusi Parlimen Kuantan dikembalikan kepada MCA pada PRU-14, nama Pegawai Khas Menteri Pengangkutan, Datuk Andrew Wong Kean Hwee dikatakan berada dalam senarai teratas untuk diserah dan dinilai sebagai calon bertanding di situ.

Bagaimanapun, Khai Mun turut memaklumkan, MCA sedia memberi kerjasama terhadap mana-mana parti komponen dalam BN yang bertanding di Parlimen Kuantan.

Itulah yang sebenarnya diperlukan BN iaitu permuafakatan demi memastikan parti berkenaan dapat merampas kembali kerusi berkenaan.

Mengulas tentang perkara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar mengingatkan supaya  lupakan soal kuota kerana apa  lebih penting adalah parti dan calon yang boleh menang di Parlimen Kuantan bagi mewakili BN pada PRU-14.

Beliau berkata, dalam soal penentuan calon, BN termasuk di Kuantan sememangnya mempunyai semangat setiakawan yang tinggi.

"Pada 2004, Ah Kiow diletakkan sebagai calon Parlimen Indera Mahkota tetapi mendapat tentangan hebat dari UMNO Bahagian Indera Mahkota. Maka UMNO Kuantan memberi laluan dengan syarat Ketua UMNO Bahagian Kuantan diletakkan calon di Parlimen Indera Mahkota.

"Sebenarnya, UMNO Kuantan yang lebih awal meminjamkan kerusi itu kepada MCA. Apapun kita yakin bahawa pemilihan tetap berasaskan kepada parti dan calon boleh menang.

"Saya berharap semua pihak berlapang dada dalam membuat dan menerima keputusan," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hamid menegaskan, keputusan ditentukan oleh pucuk kepemimpinan BN dan semua pihak termasuk UMNO Bahagian Kuantan serta parti komponen perlu menerima serta membantu calon yang dipilih.

"Baru-baru ini, mesyuarat jawatankuasa BN Parlimen Kuantan dihadiri semua parti komponen tidak membincangkan soal calon kerana ia hak pucuk kepemimpinan BN di peringkat Pusat," ujarnya.

BN perlu membuktikan bahawa parti tersebut benar-benar ikhlas membela nasib rakyat pelbagai kaum di kawasan itu serta menunaikan segala janji yang dibuat.

Pada masa sama, pengundi nilailah sendiri apakah PKR menunaikan janji kempen pilihan raya mereka sejak menduduki  Parlimen Kuantan pada 2008?

Rakyat pasti bijak menilainya. - UTUSAN ONLINE