MOHAMAD SABU
MOHAMAD SABU

Walau bagaimanapun kata seorang pemimpin PAN, hanya parti itu yang sanggup berkorban untuk gabu­ngan pembangkang diketuai DAP tetapi parti komponen lain hanya memikirkan kemahuan sendiri. Justeru, siapa di pihak benar?

Sudah menjadi adat bermuafakat, parti paling kuat akan memberikan sebahagian kerusinya untuk komponen. Ini seperti mana formula Barisan Nasional (BN). Bukan sedikit kerusi majoriti pengundi M­elayu diserahkan UMNO kepada MCA, MIC atau Gerakan. Malah, di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera (PBB) juga lakukan hal sama.

Hal ini bagaimanapun berbeza di blok Pakatan Harapan. DAP cuba digambarkan tidak dominan kerana hanya bertan­ding 35 kerusi di Semenanjung, berban­ding PKR dan Parti Pribumi Bersat­u Malaysia (PPBM) yang masing-masing mendapat 51 dan 52 kerusi.

Tetapi apakah itu pengorbanan DAP kepada komponen Pakatan Harapan. Pastinya tidak seperti kata PAN. Pertama, DAP tidak pun ‘memberikan’ mana-mana kerusi yang dimenangi pada PRU-13 lalu sama ada kepada PAN atau kepada PPBM. Yang mereka berikan Tanjung Piai, kerusi yang mereka kalah.

Lebih menambah garam di luka, bukan sahaja kerusi yang DAP menang, bahkan kerusi kalah tipis juga tidak diberikan kepada PAN. Misalnya di Bentong. Memang perit untuk PAN terima hakikat ini setelah puas dicemuh dengan bermacam label oleh parti lama mereka kerana tegar mempertahankan Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang.

Sedangkan melihat akrabnya Guan Eng dengan Mohamad Sabu, jika tidak Parlimen Kepong atau Seputeh sekalipun, wajar sangat DAP menghadiahkan kerusi Parlimen Bagan kepada Presiden PAN, agar dalam senario terburuk sekalipun, pasti PAN nanti ada wakil di Dewan Rakyat.

Mohamad sendiri pernah diberi peluang dalam Pas bertan­ding di luar negeri asalnya kerana atas dasar pengorbanan dan kompromi Pas Kelantan kepada pemimpin dari luar negeri itu supaya masing-masing merasa mewakili Pas di Dewan Rakyat.

Tetapi ‘Abang Mad’, itu dulu. DAP tetap DAP. Bukan kata Bagan, Parlimen Raub sebagai contoh, kerusi campur kerana mempunyai peratusan pengundi Melayu dan bukan Melayu yang seimbang juga tidak ditawarkan kepada PAN. Kurang-kurang, PKR bagi juga kerusi disandang mereka iaitu Lumut kepada PAN.

Memang apa milik mereka, tidak akan lepas daripada genggaman DAP. Apa strategi Kit Siang, itu tidak sukar ditelah. Apa pun berlaku dalam PRU-14, DAP tahu daripada 35 kerusi ditandingi di Semenanjung, 30 kerusi memang realistik dimenangi dan itu belum termasuk kira-kira 10 kerusi di Sabah dan Sarawak berdasar PRU lalu.

Ini menjadikan DAP terus dominan, secara logik, DAP akan memenangi kerusi terbanyak dalam komponen Pakatan Harapan dan andai kata ada keajaiban gabungan itu menang, kuasa rundingan menuntut jawatan Menteri portfolio kanan pasti di tangan mereka. Bahkan senario Perak pasca Pilihan Raya Umum 2008 boleh berulang.

Buat PAN, berkorbanlah lagi untuk Guan Eng dan Kit Siang. PPBM pula, teruskan bersorak kerana mendapat agihan kerusi terbanyak di Semenanjung walaupun akhirnya mungkin me­nerima nasib seperti Pak Kaduk, setakat menang sorak sahajalah berbanding DAP.