Arahan tersebut dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi surat yang diemelkan kepada Mohd. Khairuddin pada 19 Februari lalu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dan menyatakan beliau perlu hadir ke pejabat MCMC pada pukul 10.30 pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya diminta hadir oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan berikutan penyebaran artikel mengenai pengurusan hasil negara dikaitkan secara palsu dengan pihak dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menerusi artikel yang disiarkan di Harakah Daily, tiga tahun lalu,” katanya dalam status yang dimuat naik di akaun Facebook beliau hari ini.

Artikel bertajuk ‘Gagal Urus Belanja Negara, Rakyat Jadi Mangsa GST Zalim’ disebar secara bermusim sejak 2015, termasuk melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial kononnya daripada pihak LHDN.

Bagaimanapun, pada 12 Oktober tahun lalu, LHDN menafikan artikel yang sedang tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial berkaitan dengan pengurusan hasil negara dikeluarkan berdasarkan sumber atau daripada mana-mana pegawai agensi berkenaan.

Berikutan itu, aduan rasmi dikemukakan kepada Biro Aduan Pengguna MCMC. - UTUSAN ONLINE