Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara seperti itu seakan menjadi talian hayat pembangkang sehingga mereka tidak berani untuk mendedahkan fakta dan angka sebenar kepada rakyat.

“Berbeza dengan wartawan­ sebenar yang bertindak ­me­­­­­nyampaikan maklumat sahih tentang pemimpin mahu pun wakil pembangkang.

“Tetapi pembangkang sebutkan angka yang salah mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), tol, Felda dan sebagainya dengan harapan untuk meraih undi rakyat. Bagaimanapun ketika ini rakyat sudah bijak menilai termasuk berita-berita palsu yang disebarkan dalam media sosial seperti Facebook,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika menghadiri kenduri kesyukuran berikutan selesainya masalah air di kawasan terbabit di pekarangan Masjid ar-Rayyan, Felda Bukit Tembaga di sini hari ini.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan diketuai DAP termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Lim Kit Siang baru-baru ini menzahirkan pendirian skeptikal terhadap penggubalan undang-undang itu menerusi beberapa kenyataan kepada portal berita propembangkang.

Mengulas lanjut katanya, budaya penyebaran berita palsu yang disertakan dengan maki hamun dalam ceramah-ceramah dikendalikan pembangkang ­akhirnya tidak langsung selari dengan budaya Timur yang dibanggakan sejak sekian lama di negara ini, sekali gus merosakkan keharmonian dalam kala­ngan masyarakat.

“Pemimpin pembangkang seperti Mohd. Rafizi Ramli contohnya tidak kisah untuk bercakap mengenai fakta-fakta salah sehingga dihukum mahkamah. Disebabkan itu, kita menyokong penuh penggubalan akta tersebut supaya perkara yang merosakkan negara seperti ini tidak lagi berleluasa,” kata­nya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Pendidikan mengakui terdapat sejumlah besar guru disiplin di negara ini terdiri daripada guru wanita sehingga menimbulkan tanda tanya mengenai kemampuan mereka menjalankan tugas dalam situasi yang kian mencabar.

“Perkara itu terjadi kerana jumlah kemasukan ke institut pendidikan guru (IPG) dan universiti tempatan dimonopoli penuntut wanita. Di IPG contohnya, pelatih wanita mencecah sehingga 70 peratus berbanding pelatih lelaki.

“Disebabkan itu, sudah tentu kita berdepan masalah kekurangan guru lelaki untuk menjalankan tugas tersebut. Begitu pun, kami di kementerian tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap kemampuan golongan wanita untuk memikul tanggungjawab tersebut terutama menerusi jalinan kerjasama bersama polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG),” katanya.