Calon Pakatan Harapan (PH), Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran berkata, ia berbeza dengan pemberian wang kepada pengundi untuk balasan undi yang jelas salah dan merupakan rasuah.

“Jadi tidak payah pihak pembangkang membangkitkan isu ini dan membuang masa membuat laporan polis, lebih baik saya cadangkan mereka menggunakan masa kempen yang singkat untuk berkempen secara bersih.

“Kita mahu kepada satu kempen pilihan raya yang bersih, kita mahu semua pengundi keluar mengundi tanpa apa-apa paksaan, sogokan dan ugutan atau pun pemberian wang. Itu pendirian kita di PH,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ramah mesra di Felda Sungai Koyan 3 di sini hari ini.

Semalam, tular dalam media sosial gambar seorang wanita memakai baju PH memberikan duit kepada sekumpulan lelaki yang dikatakan sebagai sukarelawan.

Susulan itu, ia mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan laporan polis dibuat beberapa pihak termasuk Pemuda UMNO.

Menurut Manogaran, dalam isu tersebut, pemberian wang kepada 60 orang sukarelawan yang datang menaiki motosikal adalah bagi mengisi minyak.

Katanya, pemberian wang itu diambil kira sebagai sebahagian daripada perbelanjaan untuk kempen PRK PH dan dimasukkan dalam penyata akaun yang akan diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, mengulas kenyataan beberapa pihak yang menyatakan sukarelawan tidak perlu dibayar dan perlu bekerja dengan ikhlas beliau berkata, pihaknya tidak membayar gaji kepada mereka.

“Untuk makan dan pergi balik dibenarkan tetapi gaji kita tidak bayar kerana mereka bukan pekerja kita, ini kena faham,” ujarnya.