Perkara itu ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Abu Bakar Yahya yang mana beliau tidak menolak kemungkinan maklumat sedemikian sedemikian sengaja disebarkan untuk mencetuskan rasa sangsi terhadap kemampuan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah diamanahkan untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau mahu semua rakyat supaya memberi ruang serta kepercayaan penuh terhadap Dr. Mahathir serta kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang ketika ini sedang giat melaksanakan agenda pembangunan semula negara. 

Malah, usaha itu jelas beliau, adalah untuk memastikan rakyat di semua peringkat menerima pembelaaan yang sewajarnya sebagaimana dihasratkan oleh Pakatan Harapan. 

"Justeru, adalah penting bagi kita semua memberi ruang serta masa kepada Perdana Menteri (Dr. Mahathir) bersama pimpinan Pakatan Harapan yang lain untuk membentuk pentadbiran negara sekaligus mengembalikan keyakinan para pelabur terhadap suasana baharu ekonomi Malaysia. 

"Usaha ini termasuklah memastikan janji Pakatan Harapan dalam Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dapat realisasikan kepada kita semua dalam tempoh 100 hari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Tambah Abu Bakar, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber sahih yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam sebarang isu terutamanya melibatkan hal-ehwal pentadbiran negara. - UTUSAN ONLINE