MUKHRIZ
MUKHRIZ

Menjawab kenyataan Johari yang dilihat kembali mengidam kerusi Menteri Besar, Mukhriz beranggapan ia cuma pandangan peribadi Ahli Parlimen Sungai Petani daripada PKR itu.

Beliau percaya, semua pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) berpegang teguh kepada perbincangan berkaitan kedudukan jawatan Menteri Besar yang dibahagikan mengikut parti dalam pakatan itu termasuk Kedah diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Mungkin itu satu komen peribadi beliau tetapi sebelum ini sudah ada perbincangan berkaitan dengan hal itu jadi terpulang kepada dia.

“Saya menurut perintah apa arahan daripada kepimpinan tertinggi kita akur,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi latihan skuad Piala Presiden di Sekolah Menengah Tunku Malek di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang kenyataan Johari malam tadi di Pulau Pinang yang dilaporkan berhasrat untuk melepaskan kerusi yang disandang di Parlimen Sungai Petani kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan beliau Perdana Menteri sekali gus memastikan beliau menjadi Menteri Besar Kedah.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, persoalan tentang pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Kelapan juga tidak harus dipolemik lagi memandangkan ia dipersetujui dalam PH.

“Saya fikir yang pertama soal Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri itu dipersetujui, kami semua menyokong keputusan itu. Kami sudah buat ketetapan sebelum ini bahawa selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad, Anwar akan jadi Perdana Menteri,” katanya.

Menyentuh tentang perubahan kedudukan Menteri Besar setelah Anwar menjadi Perdana Menteri, kata Mukhriz, perkara itu belum diputuskan.

“Itu saya tak pasti.Keputusan melantik Menteri Besar itu terletak di tangan Perdana Menteri setelah berbincang dengan semua pemimpin dalam parti komponen,” katanya. - UTUSAN ONLINE