Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, mereka berbuat demikian selepas terbukti cincin berlian merah jambu yang sebelum ini menimbulkan kontroversi tidak dibeli oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

“Tapi masa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya dan isteri jadi mangsa fitnah. Kita sudah cakap ada resit masuk keluar Kastam, tapi dia percaya (pemimpin DAP), Tony Pua kata isteri saya beli cincin berjuta-juta ringgit.

“Padahal ketika itu kebetulan besan saya datang, tinggal dua minggu (di Malaysia) dan apabila benda itu (cincin) sampai, dia tengok dan hantar balik. Rosmah tak tahu pun, tapi ribuan orang percaya.

“Apabila berita terbukti isteri saya tak beli keluar dalam Facebook, berderet-deret orang minta maaf. Mereka kata minta maaflah Datuk,” katanya ketika berucap dalam Program Bossku Bersama Rakyat di Kampung Kanchong, Rantau di sini malam ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah mengakui cincin merah jambu yang sebelum ini didakwa berharga kira-kira RM24 juta tidak dibeli oleh seorang isteri VVIP dan telah dibawa keluar dari negara ini oleh ejen jualannya.

Menurut Najib, sebelum ini isterinya juga menjadi fitnah jahat apabila didakwa memiliki syarikat e-hailing, Grab, sedangkan ia kepunyaan cucu jutawan automotif negara.

“Selepas PRU-14 tak ada pula cerita Grab milik Rosmah. Pemandu teksi beritahu saya sebelum ini dia percaya fitnah itu. Dia pergi Langkawi, tegakkan atas bonet bendera Pakatan Harapan (PH) yang janji hapus Grab, tapi akhirnya kena ‘kencing’,” ujarnya.

Secara sinis, bekas Presiden UMNO itu berkata, orang ramai ternanti-nanti janji untuk menurunkan harga minyak sebanyak RM1.50 yang dibuat pemimpin PH, malangnya hibah Tabung Haji pula yang turun kepada 1.25 peratus.

“Dalam sejarah kita tak pernah hibah 1.25 peratus. Sepanjang sembilan tahun saya jadi perdana menteri, purata hibah adalah 6.75 peratus. Yang naik haji kita beri lebih sedikit. Malah kita peruntukkan RM400 juta setahun untuk subsidi kepada jemaah haji,” katanya.

Beliau juga kesal kerana kerajaan PH mengumumkan, bahawa Tabung Haji hanya bertanggungjawab untuk urusan haji, sekali gus menghapuskan peranannya sebagai badan pembangunan ekonomi umat Islam.

Beliau mendedahkan, hasil hubungan baiknya dengan kerajaan Arab Saudi sebelum ini, Malaysia telahpun dijanjikan tambahan beberapa ribu kuota untuk rakyat negara ini menunaikan haji. - UTUSAN ONLINE