Hakikatnya, jika ditanya penduduk negeri itu, tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan sepanjang 10 tahun di bawah Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Segala pembangunan, infrastruktur dan kemudahan yang ada di negeri ini adalah hasil usaha yang sudah dibangunkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil alih pengurusannya dan dalam beberapa situasi, mengambil kredit serta pujian daripada hasil penat lelah Kerajaan BN terdahulu.

Sesuatu yang pasti, apa yang berubah selepas 10 tahun Pulau Pinang di bawah DAP adalah penduduk negeri ini semakin terhimpit dengan pelbagai cabaran kehidupan baharu.

Antara yang semakin meresahkan mereka adalah peluang untuk memiliki rumah mampu milik atau kos rendah dan sederhana rendah.

Tidak dinafikan, di setiap ceruk tanah di negeri ini, projek pembangunan komersial sedang giat berjalan termasuklah di kawasan berisiko seperti di lereng bukit.

Kepadatan pembinaan rumah bagi setiap kawasan juga ditingkatkan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang bagi membolehkan pemaju membina lebih banyak unit meskipun di tapak tanah yang kecil.

Malangnya, unit rumah yang banyak dibina itu bukan untuk majoriti penduduk Pulau Pinang yang merupakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Tetapi untuk kelompok tertentu memandangkan unit paling murah dan dikira sebagai kos rendah dijual pada harga permulaan RM400,000.

Bencana banjir juga semakin buruk selepas 10 tahun Kerajaan DAP Pulau Pinang memerintah negeri ini sehinggakan kerajaan negeri terpaksa merayu bantuan Kerajaan Pusat.

Jika masalah banjir itu yang merupakan manifesto pembangkang dalam pilihan raya umum lalu gagal diselesaikan, apa gunanya rakyat merubah pentadbiran kerajaan negeri kepada DAP?

Isu kelembapan ekonomi sehingga menyaksikan banyak kilang ditutup juga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat kerana turut menutup peluang pekerjaan buat mereka.

Ini adalah antara masalah dan isu yang lebih terserlah sepanjang 10 tahun Pulau Pinang di bawah DAP.

Sebab itu penduduk Pulau Pinang perlu bertanya diri sendiri adakah berbaloi untuk mereka terus memberi kepercayaan kepada DAP untuk memerintah negeri ini bagi tempoh sepenggal lagi?-UTUSAN ONLINE