UTUSAN: Bagaimana rutin harian berkempen?

RAMLI: Rutin saya bermula selepas solat subuh, bersarapan, berkempen ikut jadual ditetapkan hingga ke malam, biasanya letak kepala pukul 3.30 pagi. Jadual padat tidak jadi isu kerana dalam PDRM pun kerja 24 jam. Untuk sentiasa cergas saya amalkan ada ruang untuk rehat, saya rehat. Dari satu tempat ke tempat lain kalau ada peluang untuk tidur 20 minit pun tak mengapa. Senaman, satu lagi suplemen penting untuk kuatkan kita.

Apa kelebihan untuk menarik pengundi semasa ber­kempen dan benarkan saudara boleh berbahasa Mandarin?

Bahasa Mandarin kalau nak cakap pandai sangat tu tidaklah tapi kalau mereka cakap saya faham cuma nak balas saya gagap.

Setakat ini bagaimana so­kongan penduduk?

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana saya lihat masyarakat Cameron Highlands menyokong kita. Saya menerima respons yang cukup baik daripada pelbagai kaum sepanjang kempen. Rakan-rakan komponen BN iaitu MIC dan MCA juga bekerja bersungguh-sungguh membantu. Saya positif. Dengan kesungguhan jentera BN berkempen, Insya-Allah kita akan nampak hasil daripada kerja kuat kita di DUN Tanah Rata ini.

Ada yang berkata saudara kurang bercakap tapi lebih be­kerja?

Buat apa kita cakap benda yang kita tak boleh buat. Kita hanya cakap kita ikhlas kepada rakyat, cakap apa yang kita boleh laksanakan, kalau cakap macam-macam tapi penghujungnya tak ada-apa, siapa akan rosak, bukankah rakyat? Daripada penjawat awam ke bidang politik, itu tiada masalah kerana pucuk pangkalnya ialah apa perjuangan kita. Perjuangan kita jelas dan ikhlas untuk rakyat.

Apa komen mengenai kenyataan Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad?

Orang Asli yang terdapat di Cameron Highlands kebanyakannya saudara saya. Jadi apa dalam isi hati mereka sampai kepada saya, mereka tergores hati. Kalau (Bob Manolan) sudah minta maaf sekali pun, Orang Asli tetap tergores hati ibarat bidalan, luka pasti meninggalkan parut.